Saturday, May 19, 2012

Isteri solehah perhiasan paling membahagiakan.



SYURGA di dunia ini adalah rumah tangga yang bahagia, penuh dengan rasa sakinah, mawaddah dan rahmah. Manakala neraka pula rumah tangga yang hancur, suami isteri saling menyalahi, curiga, tidak saling mencintai dan jauh daripada rasa sakinah mawaddah dan rahmah.

Sesungguhnya, dengan berkahwin, suami tidak saja mendapat seorang isteri, tetapi seluruh dunia. Rasulullah s.a.w pernah bersabda sebaik-baik perhiasan dunia adalah isteri solehah yang akan menjadikan rumah kita bagaikan syurga - baiti jannati.

Sejak perkahwinan sampailah ke akhir hayat, insya-Allah, isteri akan menjadi sahabat terbaik suami.

Dengannyalah suami berkongsi suka, duka, impian, harapan dan juga kecemasan. Ketika sakit, dialah yang akan merawat. Ketika memerlukan pertolongan, dia akan melakukan apa saja untuk suami.

Ketika berkongsi rahsia, dia akan menjaga rahsia itu dengan amanah. Ketika perlu nasihat, dia akan memberikan nasihat terbaik.

Dia juga akan selalu bersama suami. Ketika terbangun pada waktu pagi yang pertama suami lihat adalah isterinya. Dia selalu memikir dan berdoa untuk kebaikan suami dengan sepenuh hati dan suami ada dalam fikiran, doa dan hatinya.

Ketika tidur di malam hari, perkara terakhir yang suami lihat adalah dia. Suami dunianya dan dialah dunia suami.

Sebenarnya, hubungan antara suami isteri penuh dengan hal mengagumkan. Tidak mudah digambarkan dengan kata-kata betapa rasa cinta, kasih sayang, keintiman, kedamaian serta kesejukan yang mengisi hati pasangan itu.

Penjelasan rasional semua itu adalah anugerah daripada Allah s.w.t dan atas kehendak-Nya. Allah mengingatkan manusia yang mencari kewujudan-Nya bahawa satu daripada tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menjadikan rasa kasih dan sayang.

Allah berfirman yang bermaksud :
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
(Surah Ar Rum: Ayat 21)

Tetapi hati manusia bukan statik. Ia sangat dinamis. Perasaan dapat berubah setiap waktu. Cinta pun boleh terbang dan hilang. Ikatan perkahwinan boleh menjadi lemah apabila tidak dijaga dengan baik. Rumah tangga tidak dapat dijamin sentiasa bahagia. Perlu usaha daripada kedua pihak untuk saling memelihara rasa kasih dan sayang. Ibarat sebuah pohon, tanahnya perlu dirawat, dijaga dan dipupuk.

Bagi suami, mereka hidup dalam persekitaran sibuk dan melelahkan serta dikelilingi pelbagai tanggungjawab. Ada ketikanya dia tidak dapat meluangkan waktu bersama isteri dan terpaksa bersendirian dalam kesibukan kerja dan komitmen tugas.

Suami perlu pastikan keadaan itu tidak terjadi terus menerus. Cubalah sesekali luangkan waktu untuk melakukan kegiatan secara bersama dengan isteri anda. Rasulullah pernah meluangkan waktunya untuk berlumba lari dengan Aisyah r.a. Justeru, berjalanlah dengan isteri beriringan. Lakukan aktiviti bersama, mengunjungi teman bersama, berkelah bersama atau membeli-belah bersama.

Selalulah menjaga kemesraan dalam perhubungan. Kehidupan moden hampir mengubah kita menjadi robot atau mesin teknologi tinggi tanpa emosi.

Menunjukkan emosi dan perasaan yang dirasakan adalah perlu untuk menjaga ikatan perkahwinan daripada menjadi berkarat.

Jangan meremehkan hal penting yang nampak kecil seperti memberi isteri wang perbelanjaan, memicit bahunya atau membukakan pintu kereta dan sebagainya. Ingatlah Rasulullah pernah menyediakan kakinya untuk membantu isteri naik ke atas unta.

Usahakanlah untuk menyediakan waktu solat berjamaah dengan isteri. Memperkuatkan hubungan dengan Allah adalah jaminan terbaik agar perkahwinan sentiasa kukuh.

Rasulullah memberi sanjungan sangat tinggi bagi pasangan bangun malam untuk solat bersama atau masing-masing membangunkan pasangan untuk solat sekalipun dengan memercikkan air di muka.

Lakukan usaha terbaik untuk isteri dengan kata-kata dan perbuatan.

Berbicaralah kepadanya dengan baik. Senyum dan minta nasihatnya. Mintalah pendapatnya dan luangkan waktu berkualiti dengannya dan selalu ingat Rasulullah bersabda :

"Yang terbaik di antara kamu adalah yang terbaik memperlakukan isterinya."

Pasangan yang berjanji untuk saling mencintai dan menghormati sampai akhir hayat adalah sangat baik.

Tetapi hal ini tidak cukup. Suami harus mencintai apa yang dicintai isteri seperti keluarganya dan hal yang dia cintai harus menjadi kecintaan suami pula.

Rasulullah mencintai Khadijah, isterinya menemani baginda selama 25 tahun. Baginda terus menerus mencintai Khadijah dan mengingatnya. Selepas kematian Khadijah beberapa tahun kemudian, Rasulullah tidak pernah melupakannya, bahkan sanak saudara dan teman Khadijah baginda utamakan yang kadang-kala membuat Aisyah cemburu.

Cintailah isteri tidak hanya sampai dia meninggal dunia tetapi tanamkan hasrat mahu terus bersamanya di akhirat kelak, insya-Allah.


No comments:

Post a Comment