Thursday, May 24, 2012

Anak Manja??


Sekadar gambar hiasan sahaja

Peninggggggg…
Arif kebelakangan ni tersangatttt la suka buat perangai. Manja dan suka merengek yang sampai menggugat kesabaran. Ada masa Ibu bagaikan putus harap sampaikan dah habis akal dah nak memujuk. Dia kalau nak buat perangai, tak kira tempat dan masa. Semua ni TIBA-TIBA sahaja.

Mungkin jugak disebabkan semenjak sudah bersekolah ni, dia merasakan Ibu dah kurang memberikan tumpuan padanya. Mungkin jugak bila Ibu tinggalkan dia di sekolah bersama dengan rakan-rakan lain, terdetik di hatinya Ibu sudah tidak sayangkan dia lagi. Mungkin itu.. mungkin ini.. macam-macam la yang Ibu fikirkan.. haiissshhhh…

Mungkin jugak kerana selama ini dia terlalu manja dengan Ibu. Maka bila mana berlaku sedikit perubahan dia merasakan “comfort zone”-nya sudah tiada lagi. Walhal sebelum ini Arif boleh dikatakan lebih advance jika dibandingkan dengan Amsyar dan Haazem semasa mereka seusia dengan Arif. Jika dulu Arif mampu berdikari untuk melakukan tugas-tugas yang ringkas dan mudah, namun sekarang semuanya hendak dan mesti dibantu oleh Ibu ataupun anggota keluarga yang lain.

Then semasa Ibu tengah mencari beberapa rujukan, terjumpa la dengan dua artikel ini. Diharapkan jika ada rakan-rakan yang tengah menanggung nasib seperti Ibu sekarang, bolehlah dibuat rujukan dan panduan (jika perlu).

Berikut beberapa tips bagaimana menangani anak yang terlalu manja :

1- Merefleks kembali kepada sejarah lampau yang telah dilalui dengan anak. Kita perlu sedar bahawa apa yang telah berlaku di masa lalu bukanlah suatu alasan untuk terus memanjakan anak. Mungkin anak pernah melalui masa gelap, fobia terhadap sesuatu, atau apa pun alasan, kita harus terus bersikap objektif dalam mendidik anak. Tidak terlalu keras dan tidak pula sehingga memudaratkan masa depan anak.

2- Jangan terlalu sentiasa menumpukan perhatian kepada anak dan kehendaknya sahaja. Anak juga perlu diajar untuk memberi perhatian dan empati kepada persekitarannya dan memahami bahawa setiap orang juga punya kehendak dan perasaan.

3- Sekiranya anak merengek meminta perhatian, cuba alih perhatiannya terlebih dahulu dengan mengingatkannya tentang sesuatu ganjaran baik yang akan dia dapatkan sekiranya menjadi anak yang baik. Peringatan tentang ganjaran menjadi seorang yang baik ini harus selalu diulang-ulang kepada anak-anak.

4- Ajarkan anak cara bergaul yang baik. Misalnya, dengan mengajarkan anak kita meminjamkan barang yang diperlukan oleh temannya.

5- Berikan pelukan kasih sayang dan kata-kata yang membuat dirinya tenang.

6- Sekiranya keinginan anak bermanja secara tiba-tiba meningkat dan nampak dengan jelas ada reaksi pada waktu-waktu tertentu. Berikanlah waktu khusus untuk memenuhi kehendaknya itu secara beransur-ansur. Jadi lakukan perubahan secara berperingkat. Kurangkan sedikit demi sedikit, jangan terus berubah.

7- Biarkan si anak untuk mengekspresikan dirinya. Izinkan dia meluahkan apa yang dia sedang rasakan. Lazimnya, apabila si anak tidak berhenti menangis si ibu atau ayah akan marah kepada si anak untuk menyuruhnya diam. Ketika anda memarahinya, perasaan si anak akan jadi bertambah sakit. Si anak mula terfikir bahawa ibu atau ayahnya itu tidak memahami perasaannya. Malah, ketika si anak menangis ibu atau ayah tidak boleh mentertawakannya. Apa yang boleh anda lakukan ialah, tunjukkan ekspresi muka bahawa anda sangat tidak suka dengan perbuatannya itu.

8- Berpeganglah dengan prinsip, “boleh marah, asalkan jangan merugikan orang lain!” Sewaktu si anak meraung-raung sambil melempar atau merosakkan barangnya, katakan kepadanya bahawa tindakannya itu sangat merugikan dirinya atau orang lain. Contohnya; si anak membaling buku miliknya. Mungkin balingan tersebut boleh terkena kepada orang yang ada di sekelilingnya.

9- Katakan kepada si anak, “kalau buku itu rosak mama perlu menggantikan dengan buku yang baru pula nanti. Bukankah ia satu pembaziran?” Beritahu juga kepada si anak bahawa tindakannya itu boleh menarik perhatian orang lain sekali gus akan memalukan dirinya.

“Adik... semua orang memerhatikan tindakan adik ini. Adik tak malu ke?” Biasanya dengan cara ini si anak boleh merendahkan sedikit suara tangisannya itu.

10 - Buat perjanjian sebelum keluar ke mana-mana, apa kata anda buat perjanjian dengan si anak terlebih dahulu. Jelaskan kepadanya apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukannya di destinasi yang bakal ditujunya itu.

Contohnya, anda mengajak si anak menemani anda ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan rumah. Tanyakan kepada si anak, apakah yang ingin dibelinya nanti bila sampai di sana. Peruntukan satu tempoh masa tertentu di pasar raya tersebut agar si anak tidak bermain terlalu lama di sana.

Setelah membuat perjanjian, anda juga perlu membuat hukuman seandainya perjanjian tersebut diingkari soleh si anak. Tindakan ini boleh mengelak sekali gus menutup peluang si anak untuk meminta hal yang lain kepada anda. Jika sejak dari awal si ibu atau si ayah sudah mengatakan ‘TIDAK,’ seharusnya sikap sedemikian haruskan konsisten. Jangan sekali-kali mengikut kehendak si anak kerana anda tidak tahan melihat dia menangis. Jika anda melakukan perkara ini, anda akan ‘KALAH’ buat selama-lamanya dengan si anak.

11- Apabila si kecil berhenti menangis, dekatinya dan duduklah di sisinya. Kalau boleh, panggil si anak untuk duduk hampir dengan anda. Dengan tenang, berbincanglah dengannya tentang situasi yang telah berlaku itu. Ketahui apa alasan si anak menangis, mengapa ibu atau ayah tidak menuruti kemahuan si anak, mengapa anak tidak mahu memahami, jelaskan kepadanya bahawa dia tidak boleh bersikap memaksa dan mungkin anda boleh membuat perjanjian dengannya bahawa suatu hari nanti permintaannya itu boleh dipenuhi.

Jelaskan juga kepada si anak bahawa tindakannya itu boleh meninggalkan kesan negatif buat dirinya. Contohnya, tubuhnya menjadi letih kerana menangis dan menjerit atau anda dan dia menjadi malu apabila diperhatikan oleh orang sekeliling. Bahkan, anda juga boleh menyelitkan pesanan bermoral kepada si anak dengan mengatakan, “cuba adik ingat semula, sewaktu adik menangis dan marah tadi pasti adik terfikir tentang perkara-perkara yang tidak baik? Bukankah ALLAH swt tidak suka dengan fikiran yang buruk seperti itu.”

Apabila si anak mampu mengawal emosinya dan jujur dengan apa yang dirasainya, pujilah dia. Katakan kepadanya, bahawa tindakannya itu adalah betul. “Ibu gembira bila adik tidak menangis dan marah-marah lagi. Itu tandanya adik sudah semakin besar.” Kemudian jangan ragu-ragu untuk meminta maaf dengannya dengan mengatakan, “ibu juga minta maaf ya, sebab tidak boleh membelikan adik mainan itu buat masa sekarang. Adik faham kan?”

Sumber rujukan

1 comment:

  1. Ramai anak yang terlebih manja sekarang ni atau dengan kata lain terlebih laku. Mungkin mintak perhatian ibu bapa.

    ReplyDelete