Sunday, May 13, 2012

IBU...



Ibu, Mama, Ummi, Mummy, Ma, Omak, Mak.. dan bermacam-macam panggilan lagi yang digunakan untuk memanggil Insan Istimewa ini. Sungguh istimewanya Insan ini hinggakan Allah sendiri mengangkat darjatnya sehingga 3 kali lagi mulia, barulah si Ayah pula menjelma. Namun begitu, berapa ramaikah di antara kita yang benar-benar memahami dan bersetuju dengan pendapat di atas. Sedangkan kita hanya meraikan beliau SEHARI dalam tempoh 365 hari ataupun setahun.

Pernahkah kita terfikir betapa tinggi dan mulia darjat si Ibu sehingga kita hanya meraikan beliau SEHARI dalam setahun. Adakah itu berbaloi? Perlukah kita melakukannya hanya pada SATU hari tersebut sahaja.

Hari ini rata-rata seluruh masyarakat dunia meraikan hari IBU atau MOTHER's DAY. Pelbagai sambutan dilakukan dengan maksud yang sama. Bunga, kek, coklat, hadiah.. dan pelbagai lagi. Tiba-tiba sahaja kita semua kalut untuk mencari hadiah yang istimewa buat beliau, mencari restoran atau tempat makan yang istimewa hanya untuk meraikan beliau. Tidak cukup dengan itu, hanya pada hari ini sahajalah, si anak sanggup turun padang mencuci rumah, membasuh pinggan-mangkuk, menggosok pakaian atau apa-apa sahaja yang dirasakan perlu bagi meringankan beban si Ibu.

Mengapa tidak semua ini dilakukan sekerap yang mungkin tanpa perlu ditunggu hari itu? Adakah kita sebagai anak hanya perlu mengingati IBU kita SEHARI dalam setahun. Sedangkan beliau mengabdikan dirinya untuk keluarga dan anak-anak sepanjang hayatnya. Cubalah ditanya, Ibu mana yang tidak sayangkan anaknya. Ibu mana yang tidak risaukan anaknya setiap kali si anak hendak menempuh peperiksaan walaupun hanya sekadar peperiksaan akhir penggal. Ibu mana yang tidak risaukan anaknya apabila si anak sakit pening atau demam.

Jadi wajarkah kita sebagai anak bertindak sedemikian?

9 bulan 10 hari, suatu tempoh keramat yang hanya si Ibu sahaja yang tahu betapa mengandungkan seorang anak itu bermakna si Ibu akan juga terseret dengan segala jenis kesakitan dan kesusahan. Penat, semput, lelah, sakit pinggang, sakit kaki dan banyak lagi sepanjang tempoh beliau mengandungkan seorang anak itu.

Ibu sebenarnya tidak mengharapkan kita memberi kemewahan SEKALI setahun.
Ibu tidak meminta dibawa makan ke tempat-tempat istimewa SEKALI setahun.
Ibu  juga tidak meminta diberikan cuti dari melakukan segala tugas yang biasa beliau lakukan SEKALI setahun.
Malahan beliau tidak pernah meminta apa-apa, melainkan hanya INGATAN ikhlas dari si anak.

Jadi wajarkah kita hanya menunjukkan kasih sayang SEKALI setahun.
Patutkah kita hanya mengingati beliau SEKALI setahun.
Dan waraskah kita hanya melafaskan ungkapan "KAMI SAYANG IBU", SEKALI setahun.

Bukankah lebih baik dan manis serta lebih afdhal kiranya ia dilakukan sekerap yang mungkin. 
Tanpa perlu menunggu hari dan ketika itu dalam tempoh SEKALI setahun.

Dan sebagai orang Islam, bukahkan lebih wajar jika kita lontarkan doa ini setiap kali selesai kita solat 5 waktu. Jika dirasakan 5 kali itu terlalu membebankan, apakah SEKALI sahaja dalam sehari masih terlalu berat?


Walaupun peringatan ini mungkin keras dibaca oleh sesetengah orang, tapi itulah kenyataan yang sebenarnya perlu kita telan. Yang perlu kita hadapi. Yang perlu kita ubah persepsi. Yang perlu kita ubah mulai hari ini.

Bukalah minda kita, dan bukalah hati kita. Insya'Allah, apa yang kita lakukan hari ini adalah "saham" kita untuk hari yang mendatang. Dan hari itu tidaklah kita ketahui bila akan datangnya. 

Nota kaki;
Peringatan ini tidak lain hanya untuk diri ini sendiri sahaja.
Dan ketika jari-jari ini menari-nari menyampaikan segala yang terbuku di hati dan fikirannya, tidak dapat dielak mahupun disangkal serta dibendung.. jatuh jua air mata dari empunya diri ini.

Sesungguhnya hari IBU itu adalah setiap hari dan setiap detik.

Kredit penuh untuk : 
Sahabat ku Chentina, di atas kesedaran ini serta "doa" yang dipanjangkan untuk dikongsi bersama rakan dan saudara sesama Islam.


No comments:

Post a Comment