Monday, May 7, 2012

Seloka zaman millenium..


Assalamualaikum,

Di dalam hidup manusia, yang penting ialah berkat.
Bila hidup kita berkat, diri kita akan selamat.
Apabila diri kita selamat, rumahtangga menjadi sepakat.
Apabila rumahtangga sepakat, masyarakat jadi muafakat.
Apabila masyarakat menjadi muafakat, negara menjadi kuat.
Apabila negara menjadi kuat, negara luar menjadi hormat.
Apabila negara luar menjadi hormat, permusuhan pun tersekat.
Apabila permusuhan tersekat, pembangunan meningkat.
Apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat.
Tetapi awas, apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat, kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat.
Di tengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat.
Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat, ketika itu manusia mula mengubah tabiat.
Apabila manusia telah mula mengubah tabiat, ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat.
Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang semakin hari semakin liat.
Apabila sembahyang semakin liat, orang yang baik akan menjadi jahat.
Apabila orang yang baik bertukar menjadi jahat, orang miskin pula nak kaya cepat.
Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat.
Apabila orang tua nak mati lambat, tak dapat minum madu telan saja la minyak gamat.
Yang budak-budak lelaki pakai seluar ketat.
Semua nak tunjuk kuat.
Bila berjudi, percaya unsur kurafat.
Tapi hidup pula melarat.
Sampaikan tali kasut pun tak larat nak ikat.
Rambut pun dah jarang nak bersikat.
Yang perempuan pula pakai mini sekerat.
Suka pakai baju ketat.
Suka sangat tunjukkan pusat.
Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat.
Pakai pulak baju yang singkat-singkat.
Sampai ada masa ternampak benda yang "bulat".
Bila dah jadi macam ni, siapa yang nampak pasti tercegat.
Silap gaya boleh jadi gawat.
Bohsia bohjan lagi hebat.
Bila duduk jauh berkirim surat.
Bila berjumpa, tangan berjabat.
Kemudian pakat lawan peluk siapa lagi erat.
Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat. 
Usah peduli agama dan adat.
Usah takut Allah dan Malaikat.
Yang penting apa yang kita nak buat?
Akhirnya perut yang kempis dah membulat.
Apabila perut yang kempis dah jadi bulat, maka lahirlah anak-anak yang tak cukup sifat.
Bila anak-anak tak cukup sifat, masa tu kita lihat bayi dibuang di merata tempat.
Ketika itu Iblis dah mula melompat.
Dia siap kata, "Habislah manusia semua dah masuk jerat".
Habis semua manusia tersesat.
Inilah fenomena masyarakat.
Oleh itu wahai teman dan sahabat.
Marilah kita saling ingat-mengingat.
Bahawa dunia hari ini semakin singkat.
Esok lusa mungkin kiamat.
Sampai masa kita semua akan berangkat!
Berangkat menuju ke negara akhirat.
Di sana kita akan di tanya apa yang kita selama ni dah buat.
Masa tu, sendiri mau ingat..
Umur mu banyak mana mu buat ibadat?
Zaman muda mu, apa yang mu dah buat?
Harta benda mu banyak, dari mana mu dapat?
Ilmu yang kamu dapat, adakah kamu menafaat?
Semoga dengan ini dapat mengingatkan kita agar segera meninggalkan maksiat dan memperbanyakkan ibadat.

No comments:

Post a Comment