Friday, September 21, 2012

Perhiasan di dalam rumah..

(sekadar gambar hiasan.. no offense to anybody)

RUMAH adalah tempat perlindungan dan seumpamanya. Pastinya setiap orang inginkan ketenangan setiap kali berada di rumah. Dalam mencari ketenangan, tentu sahaja kita memerlukan rumah yang bersih tanpa wujudnya barang-barang yang boleh mendatangkan kesyirikan dan kemushkilan kepada kita.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, Rasulullah SAW bersabda :

"Empat unsur yang membawa kebahagian iaitu isteri solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan seumpamanya; kenderaan yang menyenangkan hati".

Manakala dalam surah an-Nahl (80), Allah SWT berfirman :

"Allah menjadikan untuk kamu rumah-rumah kamu sebagai tempat yang menyenangkan".

Oleh itu dalam menghias rumah, tidak harus wujudnya unsur-unsur berbentuk syirik seperti patung. Ini kerana dalam mencari ketenangan, kita juga mengharapkan supaya malaikat rahmat masuk ke dalam rumah kerana malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang mengandungi patung.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan seumpamanya : Muslim, Rasulullah SAW bersabda :

"Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk ke rumah yang di dalamnya ada patung".

Rasulullah sangat menegah umatnya meletakkan patung di dalam rumah mereka, kerana Malaikat tidak masuk ke dalam rumah orang tersebut untuk memberikan rahmat, kerana rumah yang meletakkan patung sebagai perhiasa ini seolahnya sepertimana rumah orang bukan muslim yang meletakkan berhala di rumah mereka. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya manusia yang paling berat seksaannya kelak di hari kiamat adalah orang-orang yang membuat patung-patung itu”. Dalam riwayat lain dikatakan : 

"Orang-orang yang menandingi ciptaan Allah”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan rumah-rumah yang dihiasi dengan gambar yang berbentuk lucah, wanita tidak berpakaian dan seumpamanya.

Kadang kala terdapat rumah yang mempunyai kawasan yang luas, namun pada zahirnya kelihatan tenang, cantik tetapi malangnya tidak dimasuki malaikat sebab wujudnya gambar-gambar berunsur kemaksiatan, patung hiasan dan seumpamanya.

CACATKAN ANGGOTA PATUNG

Sekiranya terdapat perhiasan berbentuk patung di dalam rumah, maka hendaklah dicacatkan anggotanya seperti patahkan kepala patung tersebut atau apa-apa yang sewaktu dengannya.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang menceritakan tentang keengganan Jibrail AS memasuki rumah Rasulullah SAW kerana di pintu rumahnya ada sebuah patung.

Hari berikutnya pun Jibrail AS tidak mahu masuk, sehingga dia mengatakan kepada Nabi Muhammad “Perintahkanlah supaya memotong kepala patung itu”. Maka dipotonglah ia sehingga keadaannya menjadi seperti sepohon pokok. (Riwayat Abu Daud, Nasai, Termizi dan Ibnu Hibban)

Dengan kecacatan tersebut, tiada kemungkinan patung itu akan diagung-agungkan. Bagaimanapun, patung permainan yang digunakan oleh anak-anak perempuan dibolehkan dalam Islam kerana permainan sebegini ini sekurang-kurangnya boleh mengajar anak-anak untuk masa akan datang cara mendidik anak-anak mereka.

TIDAK BERNYAWA

Menyentuh isu perhiasan yang dibolehkan dalam Islam, adalah seperti ayat-ayat suci al-Quran, pokok, gambar pemandangan atau benda yang tidak bernyawa.

Tidak salah dalam Islam membuat perhiasan daripada gambar berbentuk pemandangan laut, perkampungan, pohon di hutan, sungai dan sebagainya yang selari dengannya.

Cuma, yang tidak dibenarkan oleh Islam antaranya ialah gambar-gambar artis yang memperagakan auratnya untuk tatapan umum atau gambar orang kafir (orang bukan Islam) yang melakukan musyrik terhadap Allah SWT.

Islam tidak menggalakkan gambar-gambar seperti ini kerana ia melambangkan keagungan atau timbul perasaan memuja mereka.

Menggantungkan gambar-gambar orang alim dibenarkan sebab ia dilihat dari sudut ketokohan, kelebihan ilmunya. Islam mengharuskan gambar sebegini untuk dijadikan contoh.

Begitu juga dengan gambar-gambar keluarga atau haiwan yang diambil secara fotografi dibenarkan kerana boleh menjadi kenangan.

SEKSAAN HARI KIAMAT

Islam melarang perhiasan pinggan mangkuk yang diperbuat dari emas,  perak kerana bilamana adanya perhiasan sebegini di rumah, kemungkinan besar akan menimbulkan perasaan sifat sombong, riak, ingin menunjuk-nunjuk kemewahan yang ada padanya.

Larangan ini adalah untuk menjaga hati fakir miskin supaya tidak merasa rendah diri atau wujudnya perbezaan dan jurang yang berlebihan antara golongan kaya dan miskin.

Manakala bekas-bekas acuan kuih-muih yang berbentuk haiwan, ia dibolehkan kerana acuan-acuan ini akan dibuat dalam bentuk makanan yang akhirnya yang akan di makan, tidak disimpan dan tidak kekal maka ia dibolehkan.

Begitu juga halnya dengan permaidani yang ada gambar binatang, tidak haram diletakan di dalam rumah sebab ia diletakkan di dalam kedudukan rendah. Permaidani akan dipijak dan ia akan tidak membayangkan ia diagungkan.

Islam juga mengingatkan, orang yang mengukir dan memahat patung akan menerima azab yang dahsyat pada hari kiamat. Sabda Rasulullah SAW :

"Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya pada hari kiamat ialah orang yang membuat ukiran, memahat patung ini".

Dalam satu riwayat diterangkan :

"Orang yang menandingi kuasa ciptaan Allah"(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah SAW bersabda :

"Sesiapa yang membuat patung, pada hari kiamat nanti dia akan dipaksa untuk meniupkan roh padanya, pada hal dia selamanya tidak dapat meniupkan roh itu".

Maksud hadis ini ialah, Allah akan menyuruh orang yang membuat patung itu meniup roh sehingga boleh dan ini tentu sahaja merupakan satu seksaan dan penghinaan kerana bukan kerja manusia meniupkan roh.

Menurut Dr.Yusuf Al-Qardawi dalam kitabnya Halal dan Haram Menurut Perspektif Islam mengatakan bahawa :

Diharamkannya patung adalah demi menjaga kemurnian tauhid, supaya mereka tidak sama dengan kaum musyrik yang membuat patung sendiri kemudian disembah, bahkan dengan sangat khusyuknya. Walaupun ini bukanlah satu-satunya alasan.

Dilihat dari dimensi pematung, pematung menjadi angkuh, seolah-olahnya dia boleh menciptakan sesuatu yang semula tidak ada atau mencipta makhluk hidup dari benda mati. Diriwayatkan ada seorang pematung yang sudah bertahun-tahun membuat sebuah patung. Setelah selesai, dia begitu terpesona dan tergila-gila dengan lekuk-lekuk tubuh patungnya. Dengan angkuhnya dia mengajak patungnya bercakap :

“Marilah bercakap. Mari bercakap!!! Oleh itulah, Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya orang-orang yang membuat patung-patung ini kelak di hari kiamat akan diseksa dan dikatakan pada mereka :

“Hidupkan apa yang telah kalian ciptakan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


(sekadar gambar hiasan.. no offense to anybody)


No comments:

Post a Comment