Beautiful Friends

Friday, March 23, 2012

Doa Untuk Melembutkan Hati Anak-anak


Assalamualaikum dan salam pagi Jumaat yang barakah..

Sesungguhnya Doa itu adalah senjata orang mukmin. Maka oleh itu jadikanlah ia cara yang berkesan untuk membentuk peribadi anak-anak kita. Di samping itu juga, Doa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anak. Semua kata-kata, keyakinan, doa, harapan dan impian ibu bapa sebenarnya adalah doa.

 
Ayatnya berbunyi : Alla hu latifum bi'ibadihi, yar zuqumay..ya sha... wahuwal qa wi yul aziz. 

Tafsirnya:
“Allah maha lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang telah ditetapkan), dan Dialah yang maha kuat, lagi maha kuasa.” 


Sejak akhir-akhir ini banyak kita baca paparan di dada-dada akhbar tentang gejala anak-anak hari ini yang sangat bebas pergaulannya, derhaka pada ibu bapa, lari dari rumah serta dengan tidak ada rasa hormat langsung melawan cakap orang tua.

Kita perlu sedar bahawa remaja apatah lagi anak-anak kita perlu diberikan didikan akhlak, rohani, emosi, jasmani serta intelektual. Namun yang demikian bacaan Al-Quran hanya mampu memenuhi sebahagian daripada tuntuan rohaninya. Tidak cukup dengan hanya berdoa semata-mata.

Keruntuhan akhlak juga berpunca daripada makanan yang tidak halal dan ini sememangnya diperjelaskan oleh Rasulullah SAW. Awasilah makanan anak-anak kita supaya ia datang daripada sumber yang baik dan halal. Insya’Allah akhlaknya juga akan menjadi baik.

Terdapat banyak pilihan ayat-ayat di dalam Al-Quran yang boleh diamalkan oleh ibu-bapa untuk melembutkan hati anak-anak mereka. Di antaranya ialah Surah Taha ayat 1-6 (3 kali), dibacakan pada telinga anak semasa anak tidur 7 hari berturut-turut. InsyaAllah anak-anak akan lembut hati dan mendengar kata ibu-bapa.

Doanya adalah seperti dibawah;


[1] Taa' Haa  
[2] Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan  
[3] Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah  
[4] (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi  
[5] Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy  
[6] Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi

Surah taha adalah surah yang melemutkan hati Saidina Umar buat kali pertama ketika dia mendengar adiknya Fatimah membaca surah tersebut.

Terdapat juga petua yang mana menggalakkan kita membaca "Ya Rahman, Ya Rahim" setiap kali menyediakan makanan dan minuman untuk seisi keluarga. Bukankah maksud dua perkataan tersebut adalah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ini akan membentuk rasa kasih sayang di dalam diri dan jiwa ahli keluarga kita. Insya'Allah, jika diamalkan, nescaya kita akan mendapat hasilnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...