Beautiful Friends

Wednesday, October 24, 2012

SUNNAH DAN ADAB MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL-ADHA




1 - Mandi sunat Aidil Adha pada pagi harinya.

2 - Sunat tidak menjamah makanan atau minuman sehinggalah selesai menunaikan solat Adha.

3 - Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain.

4 - Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid.

5 - Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 10 Zulhijjah hinggalah terbenam matahari pada tanggal 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).

6 - Ucapan Tahniah Pada Hari Raya.
Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik.

7 - Berpakaian baru/cantik di hari raya.
Daripada Jabir katanya: “Nabi SAW mempunyai sehelai jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].

Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].

Keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi. Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik-cantik.

8 - Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya. Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi SAW. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah).

Daripada Umm Atiyyah katanya: “Kami disuruh oleh Nabi SAW untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”

9 - Solat hari raya.
Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak dua rakaat. Rakaat pertama ada tujuh kali takbir dan rakaat kedua ada lima kali takbir. Hukum bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah.

Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah.

Disunatkan menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya.

** Kesalahan yang dilakukan pada hari raya
Pergaulan/ikhtilat yang bebas pada Hari Raya. Ramai dalam kalangan kita telah mengambil mudah akan hal ini. Apabila hari raya datang, mereka menganggap hari raya adalah “hari kebebasan” iaitu hari yang terlepas daripada ikatan agama (agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari raya ini merupakn lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi: yang halal dinikahi), berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan.

Sunat membaca doa akhir tahun pada tanggal 29 atau 30 Zulhijjah selepas solat Asar dan membaca doa awal tahun selepas solat Magrib pada malam pertama awal Muharram.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...