Beautiful Friends

Monday, October 22, 2012

Air Zam Zam.. keajaiban, khasiat serta adab meminumnya.


Air Zam Zam memang terbaik.
Molekul di dalamnye memang lain dari air biasa.

Air Zam Zam boleh mendatangkan apa jua hajat kita dengan izin Allah apabila meminumnya. Ini termasuk menerang dan melapangkan hati, cerdas, kuat ingatan, kreatif, kaya, mulia, pandai, terhormat, membaiki akhlak dan lain-lain lagi.

Rasullah SAW bersabda, maksudnya :

“Air Zam Zam itu mengikut apa yang diniatkan oleh peminumnya (akan tercapai).”

Dengan kata lain, barangsiapa yang meminumnya untuk sebarang hajat, dia akan mencapainya. Orang–orang soleh telah mencubanya untuk mendapatkan hajat-hajat dunia dan akhirat.

Air Zam Zam juga ialah penghulu segala air, sebaik-baik air di muka bumi, air yang paling mulia, paling berharga dan paling bernilai. Telaganya digali oleh Jibril as untuk diminum oleh Nabi Allah Ismail as.

Potensi air Zam Zam untuk seribu satu hajat ini dieksploitasi oleh para ulama’, misalnya Imam Jalaluddin As-Sayuti. Sewaktu mengerjakan haji, beliau meminum air Zam Zam dengan berniat dan berdoa semoga Allah menjadikan beliau seorang yang melaut ilmu agamanya atau seorang yang tersangat alim. Allah telah mengabulkan hajat dan impian beliau ini.

Beliau telah menjadi seorang ulama’ yang paling alim pada kurun ke-10 hijrah. Ibnu Abbas, bapa saudara nabi juga menjadi seorang yang mendalam ilmunya berkat air Zam Zam. Imam At-Tirmizi, salah seorang dari enam tokoh hadis yang terulung di dunia berkata, “Orang yang meminum air Zam Zam itu:

- Jika dia minum untuk kenyang, maka Allah akan mengenyangkannya.
- Jika dia minum untuk minuman, maka Allah memberinya minuman.
- Jika dia minum untuk sembuh dari penyakit, maka Allah akan menyembuhkannya dari penyakit.
- Jika dia minum kerana akhlaknya yang buruk, maka Allah akan mengelokkan akhlaknya.
- Jika dia minum untuk menghilangkan kegelapan hatinya, maka Allah akan menghilangkannya.
- Jika dia minum untuk mengkayakan hatinya, maka Allah akan mengkayakannya.
- Jika dia minum kerana sesuatu hajat, maka Allah akan memakbulkannya.
- Jika dia minum kerana sesuatu musibah yang menimpa, maka Allah melindunginya.
- Jika dia minum kerana kesusahan yang menimpa, maka Allah akan menghilangkan kesusahannya.
- Dan jika dia minum kerana memohon bantuan, maka Allah akan membantunya.

Demikianlah kata Imam At-Tirmizi yang dipetik dari kitab “Mukjizat Perubatan Dengan Air Zam Zam” karangan Sheikh Majdi Fathi Al-Sayyid Ibrahim. Sebenarnya, apa jua niat semasa meminum air Zam Zam, asalkan niat itu baik dan halal, Insya’Allah ianya akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin. Wallahu A’lam.

Air Zam Zam adalah air yang paling mulia dan paling hebat sekali diciptakan Allah SWT.
 

Tahukah anda adab-adab ketika meminum air Zam Zam? Adab ketika minum air Zam Zam itu sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian Fuqaha adalah termasuk dalam hukum sunat, antaranya:

1. Menghadap kiblat.

2. Menyebut nama Allah SWT sebelum minum.

3. Bernafas sebanyak tiga kali ketika minum dan ketika bernafas itu hendaklah di luar bekas atau gelas itu (yakni tidak minum dengan sekali teguk sehingga habis, bahkan minum dengan berhenti sebanyak tiga kali).

4. Minum sehingga kenyang, kerana orang munafiq tidak meminumnya sehingga kenyang.

5. Mengucapkan syukur kepada Allah SWT setelah selesai minum. Sebagaimana disebutkan oleh Ibnu Majah:

Maksudnya: 
“Daripada Muhammad bin ‘Abdurrahman bin Abu Bakr katanya: “Ketika aku duduk di sisi Ibnu ‘Abbas datang seorang lelaki kepadanya, lalu berkata Ibnu ‘Abbas: “Dari mana engkau datang?” Lelaki itu berkata: “Dari perigi Zam Zam.”
Ibnu ‘Abbas berkata: “Apakah engkau minum dari perigi itu sebagaimana yang sepatutnya.” Lelaki itu berkata: “Bagaimana?” Ibnu ‘Abbas berkata: “Apabila engkau minum air Zam Zam, maka menghadaplah ke kiblat, sebut nama Allah dan bernafaslah tiga kali (waktu minum). Minumlah air zamzam sehingga kenyang dan jika sudah selesai maka pujilah Allah ‘azza wajalla.

Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tanda yang membezakan antara kita dengan orang-orang munafiq, sesungguhnya mereka tidak minum air Zam Zam itu sehingga kenyang.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

6. Setiap kali mengambil nafas ketika minum air Zam Zam, melihat ke arah Kaabah.

7. Sunat masuk ke tempat perigi Zam Zam dan melihatnya. Kemudian menggunakan timba yang ada di sana lalu meminumnya serta memercikkan air zamzam itu ke kepala, muka dan dada.

8. Memperbanyakkan doa ketika minum dan mengharapkan kebaikan di dunia dan akhirat. Sunat dibaca seperti di bawah ini: Ertinya: “Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya telah sampai kepadaku Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Air Zam Zam itu diminum untuk keperluan apa saja.” Dan aku meminumnya supaya.” Sesudah membaca seperti di atas, berdoalah lagi untuk memohon kebaikan di dunia dan akhirat, kemudian membaca bismillah, lalu minum dan mengambil nafas sebanyak tiga kali.”

Abdullah bin ‘Abbas Radhiallallahu ‘anhuma berdoa ketika minum air Zam Zam:

Ertinya: “Ya Allah Ya Tuhanku, aku mohon padaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan sembuh daripada segala penyakit.” Untuk memohon keampunan atau kesembuhan daripada penyakit, bacalah doa seperti di bawah:

Ertinya: “Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa RasulMu SAW bersabda: “Air Zam Zam itu diminum untuk keperluan apa saja.” Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku meminumnya supaya Engkau ampuni dosaku, Ya Allah ampunilah aku. Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku meminumnya supaya Engkau sembuhkan sakitku, Ya Allah sembuhkanlah aku.”

Selain berdoa untuk kepentingan diri sendiri bagi memohon kebaikan di dunia dan akhirat, memohon juga untuk orang lain seperti anak atau sanak saudara misalnya, akan tercapai permohonan itu juga jika dia meminum air zamzam tersebut dengan niat yang betul.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...