Beautiful Friends

Wednesday, June 13, 2012

Hukum berhutang dalam Islam.


Konsep berhutang menurut perspektif di dalam Islam ialah memberikan sesuatu kepada seseorang dengan perjanjian bahawa orang yang diberi pinjam itu akan membayar dengan kadar sama.

Amalan berhutang kini telah menjadi persoalan biasa di kalangan masyarakat Islam. Sama ada ia atas nama pembiayaan peribadi, pelajaran, kereta, pemilikan kad kredit dan pelbagai skim ditawarkan syarikat perbankan, rata-rata ia memberi maksud hutang. Malah, kewujudan ‘Ah Long’ juga adalah mata rantai kepada urusan pinjaman dan hutang.

Persoalan hutang dan pinjam meminjam adalah antara perbahasan yang berada dalam ruang lingkup perspektif Islam dan ia terikat dengan hukum ditetapkan syarak. Ianya dibahas dan dikupas oleh sarjana Islam dalam kitab fiqh menerusi keterangan yang ada dalam ayat al-Quran dan Hadis Nabawiyah.

Firman Allah swt bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya”
 (Surah al-Baqarah ayat 282).

Dalam ayat yang sama Allah melanjutkan FirmanNya bermaksud :

“Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan benar, dan janganlah penulis enggan menulisnya sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah, maka hendaklah ia menulis dan orang yang berhutang itu mengimlakkan (menyebutkan) mengenai apa yang ditulis itu dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah dan jangan ia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya.

Jika berhutang itu orang lemah akalnya atau lemah keadaan dirinya atau dia sendiri tidak mampu mengimlakkan, maka hendaklah walinya (penjaga) mengimlakkan butiran hutang itu dengan jujur. Persaksikanlah (urusan penulisan hutang itu) dengan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu, jika tidak ada dua orang lelaki, maka boleh dengan seorang saksi lelaki dan dua orang perempuan sebagai saksi yang kamu redhai supaya jika salah seorang lupa (butiran hutang piutang), maka seorang lagi boleh mengingatkannya.”

Ayat ini menjelaskan bahawa Islam membenarkan amalan berhutang dengan pelbagai syarat dan peraturan supaya kezaliman di antara manusia tidak berlaku dan urusan pinjaman berlaku secara adil dan reda meredai.

Secara dasarnya Islam membolehkan kepada seseorang untuk berhutang atas faktor yang memaksa seperti masalah kesempitan hidup. Namun begitu, perlu diperjelaskan di sini bahawa bebanan bakal diterima si penghutang adalah berat, terutama jika hutang tidak dibayar. Lebih berat jika dia meninggal dunia dalam keadaan hutang tidak dilangsaikan.

Kepada si pemberi hutang, sebenarnya kesudian memberi pinjam kepada orang lain adalah digalakkan terutama kepada mereka yang berkemampuan dan berpendapatan tinggi. Orang yang memberi hutang termasuk dalam golongan mereka yang berhati mulia. Mereka memberi pertolongan kepada golongan yang memerlukan dan mereka akan diberi pahala daripada Allah. 

FirmanNya yang bermaksud :

“"Dan bertolong-tolonglah kamu atas tujuan kebaikan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan”.
(Surah al-Maidah ayat 2).

Ia diperkuatkan lagi dengan sabda Rasulullah bermaksud :

“Barang siapa melapangkan dari orang mukmin kedukaan dunia, nescaya Allah akan melapangkan dia dari satu kedukaan pada hari kiamat, dan barang siapa memudahkan atas orang yang susah, nescaya Allah akan memudahkan atasnya dalam urusan dunia dan akhirat”.
(riwayat Muslim).

Ketika menjelaskan hadis ini, Imam al-Nawawi dalam kitabnya Hadis 40 menyebut secara jelas satu contoh menarik iaitu mengenai adab berhutang. Beliau menyebut kemudahan kepada orang yang susah atau yang sempit jika dalam urusan hutang ialah memberi tempoh sewajarnya untuk pembayaran hutang selepas orang yang berhutang itu tidak berkemampuan membayarnya, malah lebih mulia lagi jika hutang itu digugurkan atau diberi beberapa kemudahan lain untuk menjelaskan hutang itu.

Rasulullah saw juga bersabda seperti yang diriwayatkan ibn. Mas’ud :

“Seseorang Muslim yang member hutang kepada Muslim sebanyak dua kali, seolah-olah dia bersedekah kepadanya satu kali.”

Perkara zalim dalam urusan hutang piutang mesti dielakkan dan dijauhkan seperti mengenakan riba', faedah dan bunga yang tinggi kerana ia ternyata membebankan si penghutang. Lebih parah dengan kadar bunga yang terlalu tinggi menyebabkan berlaku nilai bunga yang sepatutnya dibayar semula jauh lebih tinggi daripada kadar wang dipinjam. Ia ternyata penganiayaan kepada manusia lemah dan tidak berkemampuan.

Kepada orang berhutang pula, sebaik-baiknya berusaha dengan tangan sendiri sebelum mengambil keputusan meminta-minta atau berhutang dengan orang lain. Orang yang suka berhutang seolah-olah menafikan kebolehan yang ada pada dirinya untuk berusaha sendiri mencari rezeki keperluan hidup.

Sebaik-baiknya cubalah elakkan diri daripada berhutang. Namun, apabila keadaan terlalu mendesak dan tiada jalan lain untuk memperoleh wang, maka di sinilah Islam membenarkan amalan berhutang.

Apabila sudah mula meminjam, aturkan jadual pembayaran hutang secara berterusan dan konsisten mengikut jadual serta menepati syarat perjanjian supaya tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari. Cuba elakkan daripada mengambil kesempatan melambat-lambatkan pembayaran hutang kerana ia bukan sahaja menyusahkan diri sendiri malah kepada orang yang memberi hutang.

Ada beberapa ingatan daripada Rasulullah kepada mereka yang berhutang, sama ada yang suka berhutang, melambat-lambatkan pembayaran hutang atau mereka yang tidak melangsaikan hutangnya.

Rasulullah saw turut memberi ingatan hendaklah berikhtiar dan berusaha membayar hutang yang dipinjamnya kerana hutang itu wajib dibayar. Tindakan menunda atau melewatkan pembayaran hutang dilarang kerana itu tidak akan diampunkan walaupun dia mati syahid dalam peperangan.

Seseorang yang berhutang hendaklah berikhtiar dan berusaha membayar hutang yang dipinjamnya kerana hutang itu wajib dibayar. Tindakan menunda atau melewatkan pembayaran hutang dilarang kerana itu satu kezaliman. 

Rasulullah bersabda yang maksudnya :

“penundaan hutang bagi mereka yang mampu adalah satu kezaliman.”

Sementara itu, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu ketika menurunkan jenazah dari atas rumah menuju ke tanah perkuburan, waris si mati akan mengumumkan kepada orang yang hadir supaya menuntut mana-mana hutang yang ditinggalkan si mati.

Berkaitan hutang juga, roh si mati hanya akan bebas selepas segala hutangnya dijelaskan oleh warisnya atau sesiapa yang sanggup mengambil alih untuk menjelaskan hutangnya itu seperti orang perseorangan mahupun baitulmal.

sumber: http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...